Monday, November 8, 2010

Ibu Mertuaku...

TERMENUNG panjang saya kala membaca e-mel kiriman seorang lelaki yang membahasakan dirinya sebagai Syah. Bagaikan tidak percaya, dalam abad ke-21 ini masih ada ibu mentua yang berlaku kejam terhadap rumah tangga anak menantu.

Namun, saya percaya kepada qada dan qadar bahawa tiada yang mustahil berlaku di dunia ini biarpun itu bukan kehendak manusia.

Kalau biasa kita menonton filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee bertajuk Ibu Mentuaku, kali ini saya ingin berkongsi cerita Syah untuk renungan anda semua. Kisahnya hampir sama. Bezanya itu dalam filem tetapi ini realiti kehidupan.

Cerita seperti ini bukan sekali dua yang saya terima, sudah banyak kali. Namun, apa yang berlaku kepada Syah saya anggap tragis dan perlu didedahkan agar mereka yang lebih dewasa dan mengaku telah makan asam garam terlebih dahulu akan mengambil iktibar daripadanya.

Saya amat bersimpati dengan nasib yang menimpa Syah dan berharap dia tabah menghadapi segala dugaan.

Bagi memantapkan cerita saya menghubungi Syah untuk mendengar sendiri apa yang sebenarnya berlaku. Memang betul seperti diduga, apa yang dia alami meninggalkan kesan pahit dalam hidupnya sampai sekarang. Rindunya kepada anak dan isteri begitu membara.

Kepada saya, Syah meluahkan rasa hatinya terhadap perpisahan yang tragis itu untuk iktibar kita bersama.

“Tidak pernah saya duga rumah tangga yang dibina dengan rasa cinta dan kasih sayang akan berakhir dengan cara yang cukup tragis.

“Sedih hati saya Tuhan saja yang tahu, tapi apa hendak dikata segala-galanya telah berakhir. Bencana yang saya hadapi menyakinkan saya bahawa dalam dunia ini ada ibu mentua yang kejam dan bertopengkan ‘haiwan’ seperti kisah yang terpapar dalam filem arahan, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

“Saya hanya sempat menikmati hidup bahagia hanya setahun lebih. Saat bahagia kami direntap tanpa belas kasihan. Kehadiran anak sulung membawa bencana, rumah tangga kami menjadi huru-hara.

“Entah apa puncanya, ibu mentua mula campur tangan dalam rumah tangga kami. Ada sahaja yang tidak kena. Kebanyakan kesalahan diletakkan kepada saya.

“Sedangkan hakikatnya kami tidak ada masalah. Hubungan saya dan isteri cukup mesra. Bergaduh kecil itu menjadi asam garam dalam rumah tangga lebih-lebih lagi bagi kita yang baru hendak kenal alam perkahwinan.

“Keadaan menjadi tegang apabila ibu mentua mengawal anak dan isteri saya. Semua dia yang hendak aturkan. Makan pakai dan urusan harian kami semua dia yang tentukan. Jadi di mana hak saya sebagai suami?

“Keadaan menjadi lebih buruk apabila saya tidak dibenarkan menjaga anak sendiri. Sebaik dibenarkan keluar hospital, mentua saya terus membawa anak dan isteri saya ke rumahnya.

“Bayangkan apa jenis ibu mentua itu. Anak sendiri kita tak boleh jaga. Macam orang gila saya ke hulu hilir mencari mereka. Keadaan tambah runcing apabila ibu saya juga tidak dibenarkan melihat cucunya. Begitu juga adik beradik saya yang lain.

“Setiap kali kami hendak melihat budak itu dia membawanya lari, macam perompak lagaknya. Cuba anda semua bayangkan. Nak kata gila pun tidak, nak kata waras pun tidak.

“Saya juga berusaha menghubungi isteri, sayangnya tidak dapat. Bukan sekali dua, malah berpuluh-puluh kali.

“Merasakan tidak ada kesudahannya tindakan mentua saya itu, saya membawa kes ini ke pejabat agama. Kepada mereka saya ceritakan segalanya dari A sampai Z.

“Pejabat agama telah memanggil isteri saya untuk mengambil laporan tentang kes ini. Malangnya lain pula yang terjadi. Kisah isteri saya bertentangan dengan apa yang telah saya laporkan.

“Ceritanya sudah terbalik pula. Ibu mentua telah mendesak isteri saya supaya meminta cerai daripada saya dengan alasan saya tidak bertanggungjawab. Katanya, saya mengabaikan isteri saya dan dia bimbang masa depan cucunya juga akan terabai.

Tidak berasas

“Pada hal, tuduhan itu langsung tidak berasas. Kami baru setahun lebih kahwin. Rasa kasih dan sayang itu sedang berbunga.

“Yang saya sedih dan kesal, isteri saya yang taat kepada ibunya itu, termakan pujukan ibunya dan memfailkan permohonan minta cerai.

“Terkejutnya saya tak dapat nak gambar. Saya berusaha untuk menghubungi isteri dan bersemuka dengannya bagi mendapatkan gambaran sebenar, sayangnya gagal juga.

“Setelah memikirkan keadaan yang makin sulit dan atas nasihat keluarga, saya akur dengan tuntutan isteri. Saya tidak meminta apa-apa ganti rugi daripadanya.

“Saya faham masalah kewangan yang dihadapi oleh isteri saya. Pada masa yang sama saya berdoa agar kami boleh kembali hidup seperti biasa. Segala usaha telah saya lakukan, berkali-kali naik mahkamah, akhirnya kami bercerai juga.

“Betapa sedih dan hancurnya hati saya tidak dapat hendak digambarkan. Sebelum saya melafazkan cerai di hadapan kadi dan saksi-saksi, isteri saya menangis bersungguh-sungguh, bahkan kakitangan mahkamah juga turut menangis kerana sedih dengan apa yang berlaku. Majlis perceraian saya bagaikan kisah dalam sebuah drama yang menyayat hati.

“Sedang keadaan begitu sayu dan pilu, ibu mentua saya tersenyum lebar bagaikan telah menang dalam peperangan. Meluat saya melihat wajahnya. Agaknya dia bangga kerana berjaya memisahkan saya daripada anaknya.

“Saya menerima hakikat yang telah berlaku. Mungkin jodoh saya setakat itu. Tapi yang saya kesal, perceraian kami bukan kerana kami yang inginkan tetapi disebabkan kami menjadi mangsa keadaan, sikap tidak berhati perut ibu mentua yang saya anggap manusia bertopengkan haiwan amat menyedihkan.

“Hingga saat ini biarpun setahun lebih telah berlalu, saya masih terkenangkan isteri dan anak saya. Bayangkan saya tidak bersama isteri dan anak saya sepanjang dia dalam pantang.

“Bayangkan juga sehingga kini sudah masuk setahun lebih saya tidak melihat wajah anak saya itu. Setiap malam saya berdoa agar satu hari nanti kebenaran akan terbukti.

“Kepada mentua saya yang kejam itu, jadilah orang tua yang berilmu, berakal dan berhati manusia. Sepatutnya anak menantu diberi nasihat dan bimbingan. Ini tidak, dipisahkan tanpa belas kasihan. Semoga anda akan insaf dan sedar akan kebesaran Allah s.w.t. dalam menentukan jodoh hamba-Nya!,’’ pinta Syah penuh harap sebelum mengakhiri ceritanya.

Suara Syah yang sebak menjadikan saya semakin hiba bagaikan ia berlaku di depan mata. Namun itulah ujian yang harus Syah hadapi.

Kepada Syah, tabah menghadapi ujian Allah. Pada masa sama, berdoa agar satu hari nanti ditemukan semula dengan isteri dan anak.

Sebagai bapa, anda boleh meneruskan tuntutan untuk mendapatkan hak melihat anak di mahkamah agar anak tersebut dapat merasakan kasih sayang seorang bapa.

Menutup kata, pesanan telus saya, jangan merintih kerana dilanda ujian dan cabaran sebaliknya sambutlah ujian itu dengan rasa aman dan syukur. Insya-Allah anda akan dilindungi dengan janji akan hadirnya sebuah kehidupan yang lebih menyenangkan.

No comments:

Post a Comment